Friday, April 5, 2013

Penyakit Orang Berilmu

Kadang-kadang kita merasakan diri kita berilmu, walhal “air mata” ilmu yang terbit daripada dada kita sangat sedikit. Kadang-kadang kita merasakan diri kita hebat apabila orang menyanjung dan memuji kita, walhal itu semua muslihat Iblis untuk menyesatkan kita.
Amalan seseorang yang banyak adakalanya menjadi modal untuk Iblis memperdayakan kita agar kita berbangga dan riak dengan kelebihan yang Allah pinjamkan. Amal yang sedikit turut dipergunakan oleh Syaitan dengan menimbulkan perasaan sentiasa berprasangka Allah akan mengampuni kekurangan diri tanpa sekelumitpun rasa ingin menambahkan amalan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Penyakit orang kaya adalah bakhil. Penyakit orang miskin adalah malas. Penyakit orang berilmu adalah takabbur. Penyakit orang bodoh adalah tiada keinginan. Penyakit orang beramal adalah ‘perasan’.
Orang yang banyak beramal merasakan dirinya hebat dan disegani. Lalu apabila dia berjalan, dia tunduk semacam tawadhu’ walhal Syaitan dalam jubahnya. Dia bercakap lembut agar dikata orang sebagai orang yang lembut hati walhal dalam hatinya tersimpan suatu perasaan takabbur yang tinggi. Apabila dia bercakap, dia merasakan semua orang memerhatikan kata-katanya. Syaitan telah memperdayakan pandangan mata hatinya, lalu dia menganggap yang buruk itu baik dan yang baik itu sebaliknya.
Orang yang banyak dosa pula sentiasa berharap dengan kalimah Allah yang Maha Pengampun. Dia terlupa Allah juga keras seksaan-Nya. Allah ciptakan neraka sebagaimana Allah turut menciptakan syurga. Neraka untuk orang yang buruk perilakunya, dan juga untuk orang yang baik perilaku tetapi buruk hatinya. Syurga pula untuk orang yang benar-benar bersih daripada sebarang karat kekotoran, jika ada sekalipun, ia terlindung di sebalik rahmat Illahi.
Sesetengah orang berilmu apabila berbicara, maka penuh mulutnya dengan pancaran ilmu yang mempesonakan, walhal hati mereka cemar dengan pendustaan. Mulut mereka berkata benar sedangkan hati mereka menidakkannya. Dia mengatakan cinta akhirat tetapi dia sendiri kelihatannya sibuk mengejar dunia. Dia menyebut perihal zuhud sedangkan jiwanya diselimuti perasaan cintakan dunia berlebihan.
Mungkin orang lain mendapat manfaat di sebalik ilmunya yang melangit, tetapi dengar hanya sekadar dengar. Disimpan dalam otak tetapi tidak di hati. Kepalanya makin membesar dengan ilmu yang sarat tetapi hatinya dipenuhi kotoran pelbagai penipuan. Mereka pakar berbicara dalam pelbagai bidang, aqidah mahupun akhlak, tasawuf juga barangkali tetapi hanya lidah menuturkannya sedangkan hati menafikan. Katanya pejuang Islam tetapi lagaknya berlainan.
Orang yang bersih hati pula, kata-kata mereka mungkin tidak membawa mesej keilmuan yang tinggi, tetapi apabila mereka berbicara, ia mengusik jiwa yang mendengar. Apabila dia menyebut soal dosa, yang mendengar akan terbayangkan neraka. Apabila dia menyebut tentang perjuangan, orang akan rindukan jihad. Apabila dia menyentuh soal ibadat, orang semakin rindukan waktu malam untuk bertahajud. Mereka tidak perlu berbicara.
Kerana akhlak mereka sudah berbicara sebelum lidah mereka bergerak. Apabila mereka ingin berucap, maka seluruh hati orang mula terusik dan menanti-nantikan mutiara kata yang terbit daripada lidahnya. Sekali orang mendengar, rindu akan bertapak dalam diri mereka. Alangkah mereka rindukan kata-kata orang yang bersih jiwanya yang mana mungkin ilmunya tidak banyak tetapi ia sangat memberi kesan.
Orang yang kotor sebaliknya. Berbuih mulutnya berbicara, namun orang hanya endah tidak endah, dengar tidak dengar. Orang mungkin rindukan pidatonya yang bersemangat, tetapi orang tidak rindukan mutiara kata darinya. Sekadar mendengar menambahkan semangat dalam satu atau dua jam, kemudian hilang berciciran di tengah jalan. Orang yang bersih hatinya, mungkin pidatonya tidak menarik tetapi jiwa sentiasa dibuai dan terusik.

Al-Hijr

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma’siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (orang-orang yang ikhlas beribadah kepada Allah)  di antara mereka.” ( Al-Hijr: 39-40 )"

credit to : http://ondastreet.wordpress.com/2013/02/08/tazkirah-jumaat-penyakit-orang-berilmu/ 

0 komentar:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates

 

Cute Orange Flying Butterfly