Kebelakangan ini, senaman yoga telah menjadi satu budaya baru dalam masyarakat di negara ini bagi membina kesihatan mental dan fizikal.Senaman yoga menurut pengamalnya didakwa boleh enghilangkan tekanan fikiran dan perasaan di samping menyihat dan mencantikkan tubuh badan.
Sehubungan dengan itu, banyak pihak tampil ke hadapan untuk mempersembahkan teknik-teknik beserta faedah senaman yoga. Sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai termasuk umat Islam menyebabkan bisnes berasaskan yoga telah menjadi semakin tersebar luas.
Iklan-iklan berkenaan yoga memenuhi laman-laman web, kedai-kedai buku, artikel-artikel di dalam majalah serta penubuhan pusat-pusat latihan yang mengendalikan senaman yoga.
Pusat-pusat latihan yoga didapati tumbuh dengan pesat di seluruh negara seperti Jiva Yoga, Ancient Yoga Consulting (AYC), Yoga House, TallTree Yoga, Isha Foundation, Surya Yoga Malaysia, Persatuan Yoga Malaysia, Sahaja Yoga Malaysia dan lain-lain. Kebanyakan penganjur dan pengajar senaman yoga terdiri di kalangan bukan Islam namun terdapat juga segelintir di kalangan umat
Islam turut terlibat dalam pengajaran yoga. Dalam kepelbagaian teknik yoga yang dipersembahkan kepada orang ramai, terdapat juga sesetengah yoga yang mempunyai unsur-unsur penyelewengan aqidah yang jelas. Contohnya, kaedah yang dibawa oleh Sahaja Yoga Malaysia adalah jelas boleh membawa kepada syirik dan pluralisme agama. Menurut ajaran pengasas yoga ini, iaitu Shri Mataji Nirmala Devi, Sahaja Yoga mampu menyatukan inti kepada semua agama. Dalam upacara yoga yang dilaksanakan pula, pelajar diminta supaya menatap gambar wajahnya, serta menyebut dengan sepenuh hati, “Ibu (gelaran bagi beliau), berikanlah aku kesedaran diri (selfrealisation)”.
Pertubuhan ini dilihat telah berjaya mengembangkan pusat-pusat latihannya hampir ke seluruh negara.Sesetengah yoga yang lain pula seperti yang dibawa oleh Talltree Yoga mendakwa yoga ialah penyatuan tenaga tersendiri dengan tenaga yang berada di luar iaitu tenaga alam sekitar. Bermakna yoga ialah koleksi teknik dan amalan kerohanian bertujuan untuk menyepadukan pemikiran, badan, jiwa, emosi dan kepercayaan.
Fenomena yoga yang dikatakan mampu mengambil alih tempat agama bagi mengisi kekosongan jiwa dan rohani manusia ini telah melahirkan kebimbangan kepada umat beragama. Sebagai contoh, pada tahun 2004, pemimpin Gereja Roman Katolik telah memberi amaran kepada penganut agama Kristian supaya berhati-hati terhadap senaman yoga yang dikatakan boleh mengikis amalan ibadat menurut agama Kristian. BBC News melaporkan kenyataan berikut:-
“The Roman Catholic Church has warned Christians against resorting to New age therapies to satisfy their spiritual needs. Publishing the results of a six-year study of practices such as yoga, feng shui and shamanism, the Vatican said that whatever the individual merits of such therapies, none provided a true answer to the human thirst for happiness. New Age is a misleading answer to the oldest hopes of man, Cardinal Paul Poupard”1.
HAKIKAT YOGA
Definisi Yoga
Yoga ialah perkataan Sanskrit yang mempunyai banyak makna2 . Ia berasal daripada bahasa Sanskrit yuj, bermaksud mengawal, menyambung atau menyatu3. Yoga dari segi istilah ialah “union; kesatuan; ‘sambungan atau ‘kuk’roh individu dengan roh alam semesta; penyatuan dengan roh Ilahi4.
Sumber Ilmu Yoga
Pengajaran Yoga terdapat di dalam kitab suci agama Hindu ‘Bhagavad Gita’.Nama 'Bhagavad Gita' bermaksud "lagu tuhan", dan Bhagavat merupakan gelaran Krishna. Dalam konteks Bhagavad Gita, perkataan ‘Yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman).
Menurut Bhagavad Gita, tujuan hidup adalah untuk membebaskan fikiran dan intelek daripada kerumitan masing-masing, dan untuk menumpukan kedua-dua ini kepada kemuliaan diri melalui penujuan tindakan kepada Tuhan. Tujuan ini dapat dicapai melalui yoga-yoga tafakur, tindakan, pengabdian, dan pengetahuan. Gita memerihalkan bahawa Yogi yang terbaik ialah yogi yang sentiasa berfikir dalam-dalam tentang Tuhan. Krishna meringkaskan Yoga dalam lapan belas bab. Terdapat empat jenis Yoga iaitu Raja Yoga atau Tafakur Psikofizikal , Bhakti Yoga atau Pengabdian, Karma Yoga atau Tindakan TanpaMementingkan Diri dan Jnana Yoga atau Pengetahuan Mengatasi Diri.
Setiap laluan berbeza, tujuan asas masing-masing adalah sama sahaja, iaitu untuk menyedari bahawa: Brahman (Intipati Ketuhanan) merupakan kebenaran tunggal, badan mempunyai batas waktu dan Tuhan Yang Maha Agung (Paramatman) adalah tidak terhad.
Matlamat Tertinggi Yoga
Matlamat Yoga ialah untuk mencapai nirvana atau moksha iaitu pelepasan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad. Terdapat tiga peringkat dalam kesedaran diri yang diberikan dalam Bhagavad Gita iaitu; Brahman: tenaga sejagat yang tidak bersifat peribadi, Paramatman: Tuhan yang berada di pusat setiap hidupan, bhagavan: Tuhan sebagai satu personaliti, dengan bentuk transendental5.
Falsafah Yoga Menurut Agama Bukan Islam
Falsafah yoga hampir diterima oleh semua agama, namun Islam tidak pernah menerima falsafah yoga memandangkan Islam merupakan agama yang amat mementingkan eksklusivisme iaitu perbezaan yang mendasar dalam soal-soal yang berkaitan ketuhanan. Antaranya contoh penerimaan agama lain terhadap yoga ialah seperti berikut:-
a) Yoga Hindu: Mengatakan bahawa kita boleh bersatu dengan Tuhan semasa Roh masih ada dalam badan, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini.6 Selepas matinya seseorang itu dia akan hidup semula ke dalam jasad lain. Keadaan ini berterusan sehingga sampai ke tahap suci yang layak bersatu dengan Tuhan - Brahma). Jalan keluar daripada dukkha dan samsara yang berterusan ini hendaklah belajar cara-cara mengamalkanYoga yang betul7.
b) Yoga Buddha: Hasil daripada pertapaannya, Gautama Buddha mendapat Kegemilangan Rohaniah ( Enlightened ). Hasil daripada terlepas dirinya daripada kenyataan hidup di dunia ini yang tidak lain daripada dukkha dan samsara.
c) Yoga Yahudi: Yahudi juga menerima Yoga. Mereka menggunakan cara yang sama seperti lahihan bernafas, membaca mantra dan melakukan kedudukan badan yang berbagai digelar Asana demi hendak mencapaisejenis keadaan kesedaran ( consciousness)8.
d) Yoga Kristian: Matlamat Yoga Kristian ialah “Kesatuan Roh dengan Tuhan”, bererti Yoga sesuai dengan Kristian. Yoga Kristian mengatakan bahawa kita bersatu dengan Allah selepas mati. Manakala Yoga Hindu mengatakan bahawa kita boleh bersatu dengan Allah semasa Roh masih ada dalambadan, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini9.
Aspek Fizikal Yoga
Aspek fizikal di dalam amalan yoga digelar Asana Yoga. Enam contoh senaman asana ialah seperti berikut:-
a) Padmasana Seorang duduk bersela di atas lantai. Kaki kanan di atas peha kiri dan kaki kiri di atas peha kanan. Tapak tangan di atas lutut kanan dan tapak tangan kiri di atas lutut kiri. Ibu jari menyentuh jari telunjuk. Inilah di antara yang dilihat di layar putih TV tempatan. Erti Padmasana kedudukan teratai. Di kalangan Hindu, bunga teratai adalah simbol keheningan, kejernihan dan keyakinan diri. Bunga teratai juga menjadi simbol kepada anggota kemaluan perempuan10 . Padmasana merupakan imbangan yang sempurna seperti bunga teratai terapung di atas air kolam yang tenang.
b) Yuga-Mudra simbol sujud seseorang kepada Tuhan. Cara duduknya: Bersilasama seperti seperti duduk Padmasana. Tarik nafas dengan mendalam, kemudian hembuskan. Tunduk perlahan-lahan ke hadapan sehingga dagu dan mulut mencecah lantai. Dua belah lengan angkat ke atas, kedua belah tangan berpegangan. Kekalkan dalam keadaan begitu seberapa lama yang boleh tanpa menarik nafas, kemudian tarik nafas dan angkat badan perlahan-lahan sehingga tegak seperti kedudukan asal serta hembuskan nafas.Yoga- Mudra ini amat jelas melibatkan perkara agama atau ketuhanan.
c) Matsyasana- kedudukan ikan. Duduk sama seperti Padmasana juga.Rebahkan badan ke belakang. Angkat dada ke atas supaya bahagian tengah kepala dapat mencecah lantai. Tangan kanan memegang kaki kanan dan tangan kiri memegang kaki kiri. Bernafaslah seperti biasa dan jangan ada paksaan11.
d) Padmasana cara Gheranda Saniluta: Duduk bersila sama seperti Padmasana; kedua tangan silangkan ke belakang dan pegang jari ibu kaki yang bersilang itu dengan kuat ( jari ibu kaki kanan dengan tangan kanan dan jari ibu kaki kiri dengan tangan kiri); tundukkan kepala sehingga sampai ke dagu serta
tekankan dagu itu ke dada serta mata melihat batang hidung’12.
e) Vajraana: menyerupai duduk tasyahhud dalan solat Islam, punggung duduk diatas tumit dan peha di atas labu betis 13.
f) Garudasana – Garuda nama burung khayalan berkepalakan rupa manusia tunggangan Tuhan Vishnu bila dia mahu naik ke langit. Vishnu sendiri biasanya digambarkan dengan bunga teratai.14 Cara melakukan Garudasana hendaklah berdiri tegak dengan sebelah kaki kanan memijak kuat di atas lantai. Sekarang angkat kaki kiri, peha kiri jadi bersilang dengan peha kanan. Belakang betis kiri dan kaki mebelit betis kanan “seperti akar membelit pohon”. Cara yang sama dilakukan ke atas lengan, sebelah lengan membelit lengan sebelah lagi. Tapak tangan menyentuh satu sama lain. Tangan terletak di hadapan muka. Kedudukan kaki dan tangan hendaklah bertukar ganti.15 Lima jenis senaman yoga yang lain ialah seperti berikut:-
a) Hatha Yoga, Ha ertinya matahari dan tha ertinya bulan. Dengan pengertian menyatukan matahari dan bulan melalui jalan pernafasan. Hatha Yoga ini semata-mata mengenai badan fizikal kita. Ini bererti Hatha Yoga bermaksud menguasi pemikiran kita melalui cara pernafasan tertentu. Menyedut nafas ke paru-paru digelar puraka; menahan nafas dalam paru-paru digelar kumbhaka dan menghembuskan nafas dari dalam paru-paru digelar rerchaka. Cara menamalkannya: Tutup lubang hidung kanan dengan ibu jari kanan; tarik nafas perlahan-lahan (puruka); ulang beberapa kali; lepaskan ibu jari dan tutup lubang hidung kiri dengan jari tengah dan jari manis; lakukan sedutan dan hembusan nafas beberapa kali sama seperti yang dilakukan sebelumnya.Pranayama tertentu (pernafasan tertentu): Tutup lubang hidung kanan dengan ibu jari kanan; tarik nafas perlahan-lahan; tutup lubang hidung kiri dengan jari tengah dan jari manis; lakukanlah kumbhaka (simpan nafas dalam paru-paru); hembuskan nafas perlahan-lahan; tarik nafas semula; tutup dengan ibu jari; lakukan kumbhaka; jatuhkan jari; hembus nafas perlahlan-lahan. Amalan inibertujuan menguasai pernafasan digelara pranayama Hatha Yoga. Ini diperingkat permulaan, boleh diulangi amalan seperti ini berberapa kali sesuka hati.Amalan seperti ini ada bahayanya kecuali jika dilakukan dengan cara sederhana yang ketat. Ada aliran lain yang seakan dengan Hatha Yoga digelar chakra ( pusat )16. Hatha Yoga ini bertujuan mendapatkan kesegaran dan kesihatan sebagai sokongan kepada Asana Yoga yang mempunyai tujuan yang sama. Selepas Hatha Yoga diikuti dengan Karma Yoga17.
b) Karma Yoga ialah Yoga sebab musabbab. Karma Yoga melatih hidup tidak mementingkan diri, berkhidmat untuk umat manusia, kepada masyarakat dan negara di mana anda berada. Dari Karma Yoga kita mempelajari bagaimanakah cara kita melawan sifat tama’ dan mementingkan diri sendiri.Kita tuai atau petik buah daripada pokok yang kita tanam. Karma Yoga adalah latihan penyucian diri. Melalui meditasi mengangkatkan darjat kita ke darjat tertinggi. Hasil daripada latihan ini hati kita menjadi lembut yang melayakkan kita kepada mengamalkan Bhakti Yoga18.
c) Bhakti Yoga ialah Yoga Ibadat, atau Yoga Cinta Ilahi. Dengan ini terbukalah akal dan hati kepada martabat Kehidupan Tertinggi, mengajar kita beribadat kepada Tuhan. Karma dan Bhakti Yoga ini disatukan lalu melahirkan tenaga, kemahuan dan kekuatan Mental. Dari sinilah Raja Yoga menarik kita ke jalanmenguasai daya fikiran, melalui proses mengira muhasabah diri menaikan darjat kita ke darjat Kuasaan Rohaniyah (Psychic Powers). Bhakti Yoga ialah Yoga Devotion (Ibadat) atau Yoga Kecintaan kepada Tuhan dengan menyerahkan diri dengan sepenuhnya kepada Tuhan, Yoga seorang Faqir, atau seorang sederhana bersahaja, dan inilah namanya Bhakti19. Bhakti Yoga ialah hubongan Yogin dengan Allah melaui cinta, ta’at dan menyerah diri ( Bhakti )20.d) Jnana Yoga Bila sampai ke tahap ini, kita sudah layak memeriksa diri dengan minda yang terlatih dan daya yang tinggi melakukan konsentrasi terhadap apakah Hikmat Manusia Ada Di Dunia ini, Kesatuan segala-gala ( Unity of Allah Things; Wahdat al-Wujud atau Allah ialah segala-gala ), serta lain-lain masalah; meneliti secara umum alam dunia di mana kita berada, bagaimanakah evolusi manusia sehingga boleh sampai ke tahap di mana sekarang kita berada dan pola kehidupan manusia mengikut arus masa mendatang. Kajian seperti ini digelar Jnana Yoga, Yoga Pengetahuan21.
e) Raja Yoga membawa kita kepada Mutlaq ( Absolute, Tuhan, God, Allah, Ultimate Reality) melalui concentration dan meditation. Raja Yoga atau Yoga Diraja, laluan pencapaian. Manakala Yoga-yoga yang lain itu hanyalah persediaan belaka. Dicantumkan semuanya itu menjadi laluan hingga ke matlamat pencapaian Yoga Diraja ini. Raja Yoga ialah kuasa mental, selaras dengan meditasi, jasad mesti ikut fikiran dan bukan sebaliknya. Raja Yoga membimbing seseorang pengamal Yoga (yogin) itu kepada mengalami pencapaian Samadhi ( bersatu ) tertinggi boleh bersatu dengan Mutlaq(Allah)22.
Kaitan senaman yoga dengan agama Hindu boleh disimpulkan seperti berikut: -
a) Padmasana merupakan imbangan yang sempurna seperti bunga teratai terapung di atas air kolam yang tenang. Bunga Teratai di kalangan Hindu adalah simbol keheningan, kejernihan dan keyakinan diri. Bunga teratai selalunya digambarkan dengan Tuhan Vishnu.
b) Garudasana senaman garuda. Nama burung khayalan yang menjadi tunggangan Vishnu ketika mahu naik ke langit.
c) Bhakti Yoga ialah Yoga Ibadat, atau Yoga Cinta Ilahi dengan ini terbukalah akal dan hati kepada martabat Kehidupan Tertinggi, mengajar kita beribadat kepada Tuhan.
d) Jnana Yoga, (Yoga Ma’rifat) Jnana Yoga bertukar daripada perkara zahir dunia kepada batin yang ada dalam diri kita.
e) Raja Yoga atau Yoga Diraja, membimbing seseorang pengamal Yoga (yogin) itu kepada mengalami pencapaian Samadhi (bersatu) tertinggi boleh bersatu dengan Mutlaq (Allah).
Kesimpulan Kaitan Senaman Yoga Dengan Hinduisme
Yoga bukan senaman badan asana semata-mata. Senaman Yoga tidak lengkaptanpa meditasi yang bukan fikiran. Meditasi (tumpuan fikiran semata ke alam rohaniah) bermatlamatkan bersatu dengan Roh Alam (Tuhan), seperti tersebut di atas. Terdapat banyak risalah yang menerangkan bagaimanakah cara-cara mengamal dan melakukan Asana Yoga. Semuanya ini dengan tujuan dapat bersatu denganroh alam. Di antaranya sebelum melakukan Asana Yoga, tiga perkara perlu dipatuhi iaitu:-
a) melakukan dan menguasai cara-cara bernafas (bukan lagi seperti cara bernafas biasa sehari-hari).
b) berdoa, temasuk menyebut kalimah suci OM atau AUM dan
c) bermeditasi. (Semua tiga perkara a, b dan c ini dengan cara agama Hindu).
Cara meditasi utama di kala hendak mengamalkan yoga ialah kosentrasi pada satu titik. Ini mungkin merupakan perkara fizikal, seperti titik cahaya di dinding, atau memusatkan perhatian mata kepada batang hidung sendiri, atau boleh jadi satu buah fikiran, atau Kewujudan Tuhan sendiri. Semua fikiran-fikiran yang bertaburan dan perhatian yang berselerak jadi tersusun rapi ditujukan kepada maha satu.
Tujuannya ialah supaya boleh dikuasai, boleh dihapuskan atau, semua fikiran-fikiran yang bercelaru, sama ada datangnya daripada pancaindera atau kesedaran batin diikat-sekat dengan melakukan konsentrasi. Pengamal yoga sebenar mengamalkan konsentrasi ini ke atas satu titik pada bila-bila masa, dan terhapuslah kecelaruan fikiran.
Melalui disiplin ini sebenarnya seorang yogi (pengamal yoga) bermujahadah hendak membebaskan fikiran daripada belenggu kebendaan deria agar dapat mencapai samadhi – bersatu dengan tuhan Brahma – lalu menjadi satu.23 ‘Brahman (Allah) ialah segala-gala dan Atman (zat maha batin setiap individu) ialah Brahman’; diri alam semesta maha tinggi dengan Tuhan”.24
DALIL DAN HUJAH
Kewajipan Umat Islam Memelihara Aqidah Daripada Segi Niat, Perkataan dan Perbuatan
Dalil :
“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu”. (Surah Muhammad: 33)
Hujah :
Ayat ini memerintahkan supaya umat Islam tidak mempersia-siakan segala amalan kebaikannya dengan sengaja membiarkan diri terjebak ke dalam perbuatan syirik. Menurut Imam al-Razi, perkara yang membatalkan amalan di sini ialah melakukan kesyirikan. Ia berdasarkan firman Allah:
“Sekiranya kamu melakukan syirik, maka gugurlah amalan kamu” (Surah al-Zumat: 65) 25 .
Melakukan senaman yoga tanpa sebarang kefahaman mendalam tentang aqidah Islam, dikhuatiri boleh membawa kepada syirik kerana yoga mempunyai matlamat penyatuan diri manusia dengan tuhan.
“Wahai orang beriman, masuklah ke dalam Islam keseluruhannya, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya dia bagi kamu ialah musuh yang nyata”.(Surah al-Baqarah: 208)
Hujah :
Menurut Dr. Sayyid Tantawi maksud mengikuti langkah-langkah syaitan di dalam ayat ini iaitu :
“Satu amaran bahawa syaitan banyak mendorong manusia melakukan kejahatan selangkah demi selangkah, peringkat demi peringkat sehingga menjadikan (manusia) itu jinak lalu menyerangnya tanpa sebarang keraguan lagi, demikian itu berlaku bagi sesiapa yang diirnya telah dipengaruhi oleh syaitan lalu dilalaikan oleh Allah SWT. Orang berakal ialah yang menjauhkan diri daripada setiap godaan dan bisikan syaitan. Sesungguhnya dosa yang kecil boleh menjadi besar dan sesiapa yang duduk berdekatan kawasan larangan dikhuatiri akan terjatuh ke dalamnya” 26 .
Oleh itu, meninggalkan pengamalan yoga itu lebih selamat kerana ditakuti pengamalan yoga boleh membawa kepada ikutan terhadap ajaran Hinduisme yang sama sekali bercanggah dengan aqidah.
Perintah Supaya Umat Islam Istibra’ (berlepas diri) Daripada Peribadatan Agama Lain
Dalil :
Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.
Hujah :
Menurut Imam Ibn Kathir surah ini merupakan surah al-bara’ah (pelepasan diri) daripada amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah s.w.t. berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklahkamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah s.w.t. dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.
Ianya bersamaan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ayat 41:
Bermaksud: “Dan sekiranya mereka membohongi kamu maka katakanlah bagiku amalanku dan bagi kamu amalan kamu, (ibadat) kamu tidak berkaitan dengan amal (ibadat) ku dan aku berlepas diri dengan segala (ibadat) yang kamu kerjakan.”
Begitu juga dengan ayat 15 surah al-Syura:
Yang bermaksud: “Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.”
Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu. 27 Oleh kerana yoga berasal daripada unsur-unsur peribadatan di dalam agama Hindu, maka amat wajar umat Islam untuk berlepas diri (istibra’) daripada amalan ini bagi memastikan keimanan mereka benar-benar terjamin di sisi Allah SWT.
Larangan Menyerupai Perbuatan Ibadah Agama Lain
Dalil :
Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa menyerupai (bertasyabbuh) dengan suatu kaum, maka ia termasuk di kalangan mereka."
(Riwayat Abu Daud, no. 3512)
Hujah :
Menurut Ibn Taimiyah hadith ini dengan jelas menyebut tentang larangan menyerupai orang kafir dalam hal berkaitan syiar agama mereka. Sedangkan yoga adalah termasuk daripada sebahagian syiar ibadat agama Hindu. Beliau menukilkan pandangan seperti berikut:-
Imam Ahmad dan selainnya telah berhujah dengan hadith ini, dan hadith ini ialah serendah-rendah keadaan yang mengandungi pengharaman menyerupai mereka (kuffar) sebagaimana firman Allah “sesiapa yang mengambil mereka sebagai pemimpin maka orang itu termasuk golongan mereka” ianya sama dengan pandangan Abdullah ibn ‘Amru: "sesiapa yang menetap di bumi orang musyrikin, melakukan perayaan Nairuz dan pesta mereka lalu menyerupai mereka sehingga mati, ia dibangkitkan bersama mereka pada hari Qiyamah." Ini boleh difahami dengan maksud penyerupaan secara mutlak, maka ia membawa kekufuran. Namun ia juga bermaksud pengharaman terhadap penyerupaan sebahagian yang demikian. Boleh jadi juga ia mengandung makna ia (penyerupa) serupa dengan mereka pada kadar yang menyamai sahaja. Sekiranya kekufuran atau kemaksiatan atau syiar (agama) yang ditirunya maka hukumnya adalah sama28.
Menyekat Jalan-jalan Kerosakan / Kebinasaan (sad al-zara’i‘)
Menggunakan Kaedah Usul Fiqh: Sadd al-Zara’i’. Ia adalah perkara-perkara yang pada zahirnya harus tetapi dibawa dengannya kepada perbuatan haram. Makna sadd al-zara’i’: Menyekat alat dan jalan-jalan kerosakan bagi menyekat kerosakan sekiranya perbuatan yang selamat daripada kerosakan menjadi jalan kepada kerosakan29.
Hujah :
Kaedah sadd al-zara’i‘ perlu dilakukan ke atas senaman yoga kerana didapati senaman ini ialah salah satu aktiviti utama untuk mencapai matlamat asal yoga iaitu penyatuan diri dengan tuhan. Menurut Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, jalan-jalan itu terbahagi kepada beberapa jenis. Perbuatan dan perkataan yang menuju kepada kerosakan itu dua bahagian.
Pertama, peletakannya itu memang untuk menuju kepada kerosakan, zahirnya tiada maksud yang lain.
Kedua, peletakannya itu bagi perkara yang harus atau sunat, tetapi ia diambil sebagai jalan kepada yang diharamkan sama ada dengan niat atau tanpa niat. Kemudian jalan-jalan ini juga terbahagi kepada dua bahagian.
Pertama hendaklah kebaikan perbuatannya lebih kuat daripada kerosakannya.
Kedua, hendaklah kerosakannya lebih kuat daripada kebaikannya. Kesimpulannya, jalan-jalan itu terbahagi kepada empat bahagian.
Pertama, jalan yang diletakkan untuk menuju kepada kerosakan semata-mata.
Kedua, jalan yang diletakkan harus tetapi ditujukan untuk sampai kepada kerosakan.
Ketiga, jalan yang harus, tidak diniat untuk menuju kepada kerosakan tetapi ia menjadi sebab terjebak kepada yang haram pada kebiasaannya dan kerosakan lebih kuat daripada kebaikannya.
Keempat, jalan yang harus dan boleh jadi menuju kepada kerosakan tetapi kebaikannya lebih kuat daripada kerosakannya30.
Penggunaan senaman yoga untuk kesihatan semata-mata termasuk di dalam kategori jalan yang ketiga iaitu jalan yang harus, tidak diniat untuk menuju kepada kerosakan tetapi ia menjadi sebab terjebak kepada yang haram pada kebiasaannya dan kerosakan lebih kuat daripada kebaikannya. Walaupun pengamal yoga mendakwa mereka mendapat manfaat daripada mengamalkan yoga tanpa sebarang unsur-unsur keagamaan luar, namun jalan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan aqidah mereka secara sedikit demi sedikit. Paling kurang iaitu berlakunya penyerupaan terhadap perbuatan ibadat agama Hindu walaupun dilakukan tanpa sebarang niat. Sedangkan mudarat aqidah lebih besar daripada kebaikan manfaat kesihatan. Malah kesihatan fizikal mampu diperolehi walaupun bukan melalui senaman yoga.
Matlamat Untuk Memelihara Kesihatan Tidak Boleh Menghalalkan Cara
Kaedah Syar’iyyah : Matlamat tidak menghalalkan cara
Hujah :
Bagi tujuan memelihara kesihatan dan perubatan, Islam menegah umatnya daripada menggunakan jalan atau perkara yang diharamkan. Para ulama bersepakat bahawa menggunakan perkara yang diharamkan untuk perubatan adalah dilarang31. Ia berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW:
“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kamu pada apa yang diharamkan ke atas kamu”. (Riwayat al-Bukhari)
“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan setiap penyakit ada ubatnya, maka berubat lah dan jangan kamu berubat dengan perkara yang haram”. (Riwayat Abu Daud)
Hanya dalam keadaan tertentu yang disifatkan sebagai darurat (terdesak) kerana tiada lagi jalan atau perkara yang halal menurut pakar perubatan, maka pada ketika itu harus bagi umat Islam menggunakan jalan atau perkara yang haram (sekadarnya sahaja) untuk tujuan perubatan dengan syarat mendapat nasihat pakar perubatan muslim yang dipercayai.
Oleh itu, melakukan senaman yoga pada hakikatnya bukanlah suatu bentuk keadaan yang darurat, sebaliknya di sana terdapat pelbagai bentuk terapi fizikal yang boleh menenangkan minda dan tubuh badan. Malah al-Qur’an sendiri merupakan ayat-ayat yang mampu memberikan ketenangan kepada jiwa muslim yang mengalami kegelisahan dan ketidaktenteraman.
Di samping itu, yoga juga merupakan suatu bentuk senaman yang boleh membawa kepada hukum syubhat kerana percampuran antara amalan fizikal yang mengandungi unsur Hindu dengan yang hanya melibatkan fizikal sematamata.
Dalam hal ini Nabi SAW mengarahkan umat Islam meninggalkan perkara-perkara syubhat kerana ia dikhuatiri terjerumus melakukan yang haram. Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.
Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan”. (Riwayat Bukhari)
FATWA ULAMA DAN INSTITUSI ISLAM BERKENAAN YOGA
Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura
“Yoga adalah antara perkara-perkara bid'ah yang digolongkan ke dalam bid'ah
dhalalah. Ia mengandungi unsur-unsur agama Hindu.
Segala perkara yang mengandungi unsur-unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram”32.
Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir
“Bahawa pergerakan senaman semata-mata yang bermanfaat bagi tubuh atau sebahagian anggota badan, tidak salah dan tidak haram tetapi ini tidak dinamakan yoga. Bahawa apa yang disandarkan kepada nama ini (yoga)semestinya dikaitkan dengan konsep ‘guru’ (mursyid), konsep cakra (titik-titik pusat) dan konsep ‘energi’ (tenaga tertinggi), semuanya ini konsep-konsep yang berkaitan dengan keberhalaan dan kesyirikan. Adapun hanya pergerakan semata-mata maka ia tidak dinamakan dengannya (yoga). Pemaksaan seseorang untuk menamakan pergerakan-pergerakan badan ini sebagai yoga tidak harus dari segi syara’. Ia termasuk dalam bab menamakan sesuatu dengan bukan namanya yang boleh menatijahkan penghalalan atau pengharaman sesuatu, dan ia telah pun ditegah."
Rasulullah SAW bersabda:
”Akan ada manusia di kalangan umatku yang meminum arak yang mereka gelarkan bukan dengan namanya”. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abi Malik al- Asy’ari r.a.
Dalam riwayat al-Darimi daripada ’Aisyah r.a.h. menyebut: "Mereka menamakannya dengan selain namanya lalu menghalalkannya (arak)”.
Pandangan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi
“Dan sesiapa yang mengamalkan senaman yoga – iaitu latihan pergerakan tubuh – dan tidak terlintas di fikirannya unsur penyembahan, tidak juga untuk mengikuti golongan penyembah berhala, tidak juga menyerupai mereka, maka yang lebih selamat dan lebih berhati-hati ialah menjauhkan diri daripada menyerupai mereka, lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa asal-usul senaman yoga yang mempunyai unsur keberhalaan, sebagai beramal dengan hadith:
“Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan”. Malah Islam telah melarang tegas sebarang penyerupaan dengan penyembah berhala walaupun hanya dari segi supa dan bentuk. Oleh sebab itu Islam telah menegah solat pada waktu terbit matahari dan ketika tenggelamnya, kerana penyembah matahari menyembah matahari pada kedua-dua waktu ini.
Tidak diragukan lagi bahawa larangan daripada solat pada kedua-dua waktu tersebut ialah sebagai menyekat jalan-jalan kerosakan walaupun ia tidak terlintas di benak orang yang solat untuk menyembah matahari atau menghadap ke arahnya di dalam solat”.
Fatwa Ustaz Mas’ud Sobri (Islamonline)
“Hukum syara’ bagi melakukan senaman ini boleh disimpulkan seperti berikut:
Sesiapa yang mengamalkan yoga dan mempercayai yoga sebagai satu kepercayaan yang meningkatkan kerohanian dan diri, menyerupai aqidah agama Hindu, maka mengamalkannya adalah haram. Manakala sesiapa yang melakukan senaman yoga sebagai satu jenis senaman semata-mata yang tiada kaitannya dengan aqidah, maka hukumnya ialah harus berasaskan kepada asal yang telah diletakkan oleh jumhur fuqaha’: Bahawa asal setiap sesuatu itu harus sehingga terdapat nas yang mengharam, diringi pula dengan niat seseorang yang melakukannya, sebagaimana yang berlaku ke atasnya kebanyakan hukum berdasarkan sabda Rasulullah SAW, ”Bahawasanya setiap amalan itu dengan niat, dan setiap orang berdasarkan apa yang diniatkannya”.
Sebagaimana Islam mendapati banyak amalan tradisi kemasyarakatan seperti perkahwinan dengan pelbagai jenis. Lalu Islam membatalkan kesemuanya dan mengekalkan apa yang dimaklumi oleh ramai hingga ke hari ini iaitu (kebiasaan) seorang lelaki menuntut anak gadis daripada bapanya dan lain-lain bentuk tradisi kemasyarakatan dalam perkahwinan yang telah dikekalkan oleh Islam.
Berdasarkan apa yang diterangkan sebelum ini, tidak mungkin dihukumkan haram ke atas pengamalan yoga, sekiranya yoga itu hanya senaman secara jasmani semata-mata, yang tiada kaitannya dengan aqidah”.
Pandangan Fatwa Islamweb.net
Yoga bukanlah hanya senaman badan semata-mata tetapi ianya ialah ibadah yang dihadapkan oleh pelakunya kepada matahari selain daripada Allah SWT. Ianya tersebar ke seluruh India sejak zaman dahulu. Nama asal bagi senaman ini dalam bahasa Sanskrit (sastanja surya nama sakar). Bermaksud sujud kepada matahari dengan lapan titik di tubuh. Bermula latihan-latihan yoga dengan kedudukan pertama yang menggambarkan penghormatan kepada yang disembah iaitu matahari. Latihan-latihan ini semestinya diiringi dengan sejumlah daripada lafaz-lafaz yang dengan jelas menyebut tentang penyembahan matahari dan menghadap ke arahnya.
Dan sekiranya ditanya: Adakah harus beramal dengan latihan-latihan ini tanpa menghadap ke arah matahari dan melafazkan ucapan-ucapan yang disebutkan (mantera)?
Jawapannya: Bahawa sekiranya latihan-latihan ini terlepas daripada kalimah-kalimah keberhalaan dan menghadap ke arah matahari serta tunduk dan hormat kepadanya, ianya tidak dinamakan yoga. Sebaliknya ia adalah senaman mudah yang dilakukan oleh kesemua bangsa, maka tiada larangan untuk melakukannya ketika itu, di samping memelihara dua perkara berikut:-
a) Menyalahi susunan posisi-posisi yang disebutkan dalam yoga serta memasukkan sesetengah posisi-posisi yang baru ke atasnya bagi mengelakkan unsur penyerupaan.
b) Tidak melakukannya pada waktu yang digalakkan oleh agama Hindu melakukannya seperti pada waktu terbit matahari”.
Keputusan Panel Kajian Aqidah JAKIM
Kertas berkenaan yoga telah dibentangkan di dalam mesyuarat PKA sebanyak tiga kali oleh Y. Bhg. Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim dan Urusetia JAKIM.
Kali pertama ia dibentangkan pada mesyuarat PKA kali ke-31 bertarikh 20 Disember 2005, kali kedua pada mesyuarat PKA kali ke-35 bertarikh 19 Jun 2007 dan kali ketiga pada mesyuarat PKA kali ke-37 bertarikh 13-15 Mei 2008.
Kesemua mesyuarat memutuskan bahawa amalan yoga adalah bercanggah dengan Islam dan secara tidak langsung mempromosikan ajaran Hindu.
Mesyuarat PKA kali ke-31 juga antara lain mengesyorkan supaya senaman lain seperti taichi boleh dijadikan sebagai senaman alternatif kepada yoga kerana ianya tidak mempunyai falsafah tertentu di sebaliknya.
Keputusan Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang pada 22-24 Oktober 2008 telah memutuskan setelah mengkaji dan meneliti hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan yoga maka, ahli muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum masihi lagi yang menggabung amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan aqidah seseorang muslim.
Oleh ahli muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.
Namun demikian, masyarakat Islam diingatkan wajib berhati-hati dan berwaspada daripada perkara-perkara yang boleh menghakis aqidah seseorang muslim. Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis aqidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:-
a) Kepercayaan atau keyakinan di hati
b) Menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah
c) Perbuatan
Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara aqidah mereka daripada terhakis.
Mohd Aizam bin Mas’od
Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan JAKIM

0 komentar:
:)) :)] ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} ~x( :-t b-( :-L x( =))
Post a Comment