Thursday, January 15, 2009

Nurdin Zangi

Suasana Ummat Islam pada kurun ke-5H

Negeri-negeri Islam pada zaman itu sibuk dengan perbincangan ilmu manakala dalam masa yang sama orang-orang Kristian sibuk membina kekuatan tentera untuk menghancurkan dunia Islam. Orang-orang Kristian di Eropah memang sangat benci kepada ummat Islam selepas orang-orang Islam dapat menawan empayar Byzantine. Kebencian ini semakin hari semakin menjadi-jadi. Sebabnya ialah dengan kajtuhan Bysantine, semua kawasan suci ummat Kristian telah jatuh ketangan ummat Islam termasuklah tempat lahir Nabi Isa as.

Perkara ini sudah cukup menyebabkan orang-orang Kristian menaruh rasa dendam kepada Islam tetapi adanya negara-negara Islam yang kuat menyebabkan mereka tidak berani mengusik tanah air Islam. Walau bagaimana pun kejatuhan empayar Saljukid dan keadaan yang tidak menentu di Asia Kecil dan Syria pada akhir kurun ke-5 H telah memberikan peluang kepada orang-orang Kristian. Pada masa itu di dunia Kristian telah lahir seorang pemimpin yang bersemangat waja yang mampu menggerakkan rakyat jelata Kristian. Dia ialah Peter the Hermit. Kemampuannya membangkitkan semangat orang-orang Kristian di tambah lagi keadaan ekonomi yang mendesak pada masa itu menyebabkan rakyat bawahan tidak teragak-agak untuk pergi berperang.


Kemaraan pertama tentera Kristian ke arah Timur ialah ke arah Syria pada tahun 490 H. Dalam tempoh dua tahun dua bandar besar, Edessa dan Antioch, dan beberapa bandar lain telah jatuh ke tangan tentera Kristian. Pada tahun 492H tentera Kristian telah dapat menawan Baitul Muqaddis. Dalam tahun-tahun berikutnya sebahagian besar Palestin dan kawasan pantai Syria, Tortosa, Acre, Tripolis dan Sidon telah jatuh ke tangan tentera Salib. Menurut Stanley Lane-Poole, seorang ahli sejarah Kristian, tentera Kritian masuk seperti kapak membelah sambungan kayu.

Seterusnya Lane-Poole mengatakan empayar Muhammedan seolah-olah dibelah-elah sehingga berkecai. Penawanan Baitul Muqaddis menyebabkan tentera Salib hilang pertimbangan sehingga bertinDak di luar batas-batas kemanusiaan sehingga ahli-ahli sejarah Kristian sendiri malu untuk menuliskannya tetapi tak boleh menafikannya. Selepas kejatuhan Baitul Muqaddis ummat Islam telah dibantai. Pembunuhan besar-besaran terhadap ummat Islam telah menyebabkan darah membanjiri jalan menuju ke Masjid Umar sehingga setinggi lutut. Bayi-bayi direntap dengan memegang kakinya dan kemudian dihempaskan ke dinding atau dipusing-pusingkan. Orang-orang Yahudi pula dibakar hidup-hidup di dalam rumah ibadah mereka. Pada hari berikutnya keadaan yang serupa berulang tetapi lebih meluas.

Pada suatu keadaan 300 orang tawanan yang telah dijanjikan keselamatan telah dibunuh beramai-ramai. Mayat-mayat lelaki dan perempuan serta kanak-kanak dari pembunuhan ini dan pembunuhan beramai-ramai lainya telah dilonggokkan lalu dipotong-potong dan dicincang. Apabila pesta pembunuhan ini selesai, tawanan perang disuruh membersihkannya. Kejatuhan Baitul Muqaddis menandakan permulaan keruntuhan kekuasaan Islam dan bertambah kuatnya Kristian di Barat. Kejayaan mereka menubuhkan empat kerajaan di Palestin, Edessa, Antioch dan Tripoli yang bersempadankan Laut Mediterranean hingga ke Sungai Ifrat dan Mesir membuktikan perkara ini. Tegaknya keempat-empat kerajaan Kristian ini telah mendedahkan dunia Islam kepada serangan-serangan yang lebih besar. Pada masa cita-cita pahlawan-pahlawan salibi sangat tinggi hinggakah Reginald Chatillon pernah mengatakan rancangannya untuk merentas Jazirah Arab, menawan Mekkah dan Madinah dan kemudian mengeluarkan jenazah Rasulullah saw dari dalam kubur.

Tidak pernah dalam sejarah sesemenjak Rasulullah diutus agama Islam dalam keadaan yang amat bahaya seperti ini. Kewujudan Islam pada masa itu seperti telur di hujung tanduk. Abad ke-6 H bermula dengan ummat Islam yang bercakaran sesama sendiri. Selepas kewafatan Malik Shah, seorang raja Sajukid yang hebat, peperangan saudara berlaku antara pengganti-penggantinya sehingga memecahkan kerajaan kepada beberapa kerajaan yang kecil. Tiada satupun pemimpin Islam yang cukup berwibawa untuk menyatukan kekuatan Islam untuk berdepan dengan kekuatan tentera Salib. Stanley Lane-Poole telah menyatakan masa itu ummat Islam tidak tentu arah dan kelam kaut kerena terkejut dengan berkecainya kerajaan Islam yang besar dan kuat yang selama ini melindungi mereka. Keadaan kelam kabut ini demikian mendalam yang tidak boleh diperbetulkan kecuali adanya kuasa yang kuat.

Pendeknya masa itulah yang paling sesuai bangsa-bangsa Eropah menyerang. Dalam keadaan yang demikian bahaya, tiba-tiba Allah menerbitkan satu bintang dari ufuk timur. Seperti zaman-zaman sebelumnya, apabila Islam dalam bahaya, Allah menciptakan seorang mujaddid dari tempat yang tidak disangka-sangka untuk menyelamatkan agama suci ini. Lane-Poole ada menuliskan, ketika seruan jihad sangat diperlukan dan seorang panglima perang yang bersemagat dan cerdik serta dihormati dinanti-nanti muncullah Imaduddin Zengi.

Imaduddin Zengi adalah anak seorang pengawal balai rong Sultan Malik Shah. Kemudian Sultan Mahmud telah melantik beliau menjadi pemerintah Mosul dengan gelaran Atabek. Selepas ia mengukuhkan kedudukannya di Syria dan Iraq, Imaduddin pergi menyerang Edessa (Roha) yang menjadi salah satu kubu kuat tentera Salib dan menjadi pusat mengaturkan serangan-serangan keatas wilayah-wilayah Islam. Imaduddin telah berjaya menawan kubu kuat itu pada 6 Jamadil Akhir, 539 H. Ahli sejarah Arab menyifatkan kejayaan ini sebagai penaklukan atas penaklukan kerana Edessa dianggap kubu Kerajaan Kristian yang paling kuat. Dengan kejayaan mengambil semula Eddessa, lembag Ifrat terselamat dari serangan tentera Salib. Tidak lama selepas ia berjaya menawan semula Edessa, Imaduddin telah dibunuh oleh seorang hamba pada 5 Rabiul Akhir, 541 H. Maka tamatlah riwayat seorang pahlawan Islam yang telah membuka jalan bagi ummat Islam untuk menyerang balas melawan tentera Salibi. Walau bagaimana kerja berat Imaduddin yang tidak sempat diselesaikannya telah diteruskan oleh anaknya yang tidak kalah hebatnya, iaitu Al-Malik al-Adil Nurdin Zangi.

Al-Malik Al-Adil Nurdin Zangi

Nurdin Zangi pada ketika itu telah menjadi pemerintah Aleppo. Kedudukan yang berhadapan dengan tentera Kristian menyebabkan ia diberi tanggungjawab menerajui kerja-kerja menyelamatkan dunia Islam. Ia telah menumpukan usahanya untuk mengusir keluar penguasa Kristian yang kini memerintah Syria dan Palestin. Boleh dikatakan seluruh hayatnya ditumpukan kepada usaha ini. Baginya jihad menentang tentara Salibi adalah amal ibadah yang paling besar dikurniakan Allah. Dengan usaha jihadnya, ia dapat menguasai Harim pada tahun 559 H. Harim adalah kubu kuat Kristian di sebelah Utara Palestin dan Nurdin Zangi terpaksa berhadapan dengan tentera bersekutu Franks dan Greeks.

Diceritakan lebih kurang 10,000 tentera Kristian telah terbunuh dan sejumlah yang tidak terkira telah dapat ditawan. Di antara orang-orang penting tentera Salib yang dapat ditawan ialah Bohemond, putra raja Antioch, Raymond dari Tripoli, Joscelin III dan Duke Calamar, seorang panglima Greek.Tidak lama selepas itu, kota Banias yang dimiliki oleh Kaesar Philippi di kaki gunung Hermon dapat ditawan selepas mengepungnya dari dua arah. Betapa petingnya perubahan kuasa ini telah digambarkan oleh Stanley Lane-Poole seperti berikut:“Kejayaan panglima perang Nurdin Sangi, iaitu Salahuddin, menguasai lembah Nil di Mesir telah menyebabkan kerajaan Kristian Jerusalem di Palestin terjepit di antara dua ketumukan tentera yang dikuasai oleh pemirintah yang sama. Pelabuhan Demietta dan Iskandariah telah membolehkan tentera Islam mengadakan angkatan laut dan memutuskan hubungan tentera Salib dari Eropah dan merampas bekalan mereka.” Dengan kejayaannya itu Nurdin Zangi telah dapat mengalahkan tentera Salib di Palestin tetapi cita-citanya yang sebenar ialah mengusir mereka dari Baitul Mukaddis. Tetapi cita-citanya tidak tercapai apabila ia jatuh sakit dan pulang ke rahmat Allah pada tahun 569 H. Usaha dan asas-asas yang telah dibinanya kemudian disambung oleh Salahuddin Al-Ayyubi.

Perangai Nurdin Zangi

Ahli-ahli sejarah telah menyifatkan Nurdin Zangi sebagai orang yang gigih, pemerintah yang adil, berhati lembut, warak, berpandangan jauh dan seorang pahlawan yang gagah berani yang sanggup pergi ke garisan hadapan semasa perang. Ibnu Al-Jawzi yang sezaman dengan Nurdin Zangi telah menuliskan dalam bukunya al-Muntazam seperti berikut:“Nurdin bersama tenteranya telah mara ke arah musuh di sempadan dan telah berjaya menawan lebih dari 50 bandar dari orang-orang kafir. Ia telah membawa kemakmuran kepada negaranya melebihi kemakmuran pemerintah-pemerintah lain. Keamanan dan keadilan telah meliputi kawasan pemerintahannya. Banyak lagi kebaikan-kebaikannya jika hendak dipuji. Walaupun demikian ia tetap memberikan ketaatan kepada Khalifah di Baghdad. Sebelum ia menghembuskan nafasnya yang terakhir, ia telah berjaya menghapuskan segala bentuk penindasan dan cukai-cukai haram dalam kawasan pemerintahannya. Kehidupannya sangat sederhana. Ia sangat menghormati orang-orang alim dan ulama’."

Seorang lagi ahli sejarah yang terkenal dengan penilaiannya yang tepat, Ibnu Khallikan telah menuliskan, “Ia adalah seorang pemerintah yang wara’ yang sentiasa memastikan dirinya mengikut syara’. Ia juga menyanjung dan mengambil berat hal ehwal para ulama. Ia terkenal dengan kehendaknya yang kuat untuk berjihad. Ia juga menginfakkan sebahagian dari pendapatannya untuk menolong orang-orang fakir miskin. Ia telah mendirikan institusi-institusi pendidikan dalam setiap bandar di Syria. Banyak lagi pembangunan untuk kepentingan rakyat yang telah dilakukan sehingga sukar untuk menyenaraikannya”.

Ibnu Al-Athir, seorang lagi ahli sejarah yang ternama, telah menuliskan dalam bukunya Tarikh al-Kamil, “Aku telah mengkaji kerja pemerintah-pemerintah silam, kecuali empat khalifah yang pertama dan Umar bin Abdul Aziz , tiada satupun pemerintah yang begitu adil dan wara’ serta taat kepada undang-undang seperti Nurdin Zangi”. Pengakuan Ibnu Al-Athir ini dipandang sangat bermakna kerana ia telahpun berusian 14 tahun semasa Nurdin mangkat. Ia telah menuliskan mengenai sifat-sifat dan perangai Nurdin Zangi seperti berikut:“a memenuhi keperluan peribadi dari bahagian harta rampasan perang. Keperluan keluarganya dipenuhi dari tiga buah kedai miliknya di Hams yang menghasilkan sewa sebanyak 20 dinar setahun.

Suatu hari isterinya mengadu pendapatan dari sewa kedai itu tidak cukup. Ia menjawab, “Aku tidak mempunyai lebih dari itu untuk diberikan kepada mu. Apa yang kau lihat selain dari itu adalah amanah ummat Islam ke atas ku dan aku tidak lebih dari pemegang amanah. Aku tidak mahu dihumbankan ke dalam neraka disebabkan kau aku membelanjakan harta rakyat untuk kepentingan kita” .Ia sentiasa menghabiskan sebahagian dari malam hari untuk sembahyang. Ia suka mempelajari hukum hakam dan hadis dan ia berfikiran terbuka. Ia terkenal dengan cintanya kepada keadilan yang dapat dilihat dengan jelas. Ia telah banyak menghapuskan cukai-cukai di kawasan pemerintahannya yang terdiri dari Mesir, Syria dan Mosul. Ia sangat teliti dalam melaksanakan hukum-hukum Syara’. Pada suatu hari ia telah dipanggil ke mahkamah. Sebelum ia pergi ia telah memberi notis kepada Kadi supaya tidak memberikan kelebihan kepadanya bila ia berdiri di mahkamah sebagai orang yang tertuduh. Walaupun ia menang dalam kes ini, ia telah memberikan haknya kepada pihak pendakwa sambil berkata, “Aku memang telah membuat keputusan untuk hadir tetapi rasa ego ku menyebabkan aku hampir tidak menhadiri mahkamah ini. Oleh itu aku terus datang dan kini aku lepaskan keputusan yang memihak kepada ku”.

Sehubungan dengan keadilan ia telah menubuhkan satu tribunal yang dikenali sebagai Dar-ul-‘Adl (Rumah Keadilan) di mana dia dan Kadi mendengar pebicaraan pegawai-pegawai tinggi dan anak-anak pembesar.“Di medan peperangan ia digemari kerana keberaniannya. Ia sentiada membawa dua panah dan anak-anak panah ke medan peperangan. Pada suatu ketika seseorang telah berkata kepadanya, ‘Demi Allah, jangan dedahkan diri kau dan Islam kepada bahaya”. Jawabnya, “Siapa Nurdin yang kamu bercakap sedemikian rupa? Siapa lagi yang mempertahankan negeri ini dan Islam kalau bukan aku? Ketahuilah tiada penyelemat melainkan dari Allah”. “Ia meninggikan martabat ulama’ dan sentiasa berdiri apabila menyambut mereka. Ia mengambil berat hal-ehwal mereka dan sentiasa memberikan mereka hadiah-hadiah. Walaupun ia rendah diri dan sederhana, tetapi perawakannya yang kuat menyebabkan orang selalu merasa takut apabila ia datang. Banyak lagi kebaikan-kebaikannya tetapi tidak dapat dimasukkan dalam penulisan ini”.

Semangat Yang Tak Pernah Luntur

Nurdin telah bertekad untuk mengahalau pauk Salib keluar dari tanah suci. Semangatnya tidak pernah luntur dan keazamannya tidak pernah susut untuk mencapat tekadnya itu. Ia pernah kalah dalam peperangan, iaitu di Hisn al-Akrad pada tahun 558 H. Tanpa disedari ia telah diserang secara tiba-tiba oleh tentera Kristian. Apabila peperangan itu reda ia telah berkhemah di Hams, hanya beberapa batu dari khemah musuh. Beberap orang telah menasihatkannya supaya tidak berada terlalu dekat dengan musuh selepas kalah dalam peperangan. Tetapi Nurdin meminta mereka diam seraya berkata, “Aku tak peduli dengan musuh walaupun aku hanya ada seribu ekor kuda. Demi Allah aku tidak akan masuk ke rumah selagi aku tidak memberikan balasan kepada musuh”. Dalam keadaan demikianpun ia masih lagi memberikan peruntukan kepada ulama, orang miskin dan orang-orang yang memberikan seluruh masanya di jalan Allah. Apa bila dicadangkan kepada beliau wang peruntukan itu boleh dialihkan untuk memperkukuhkan tenteranya dalam keadaan yang sangat bahaya ini, ia menjawab dengan marah, “Aku mengharapkan pertolongan Allah melalui restu dan doa mereka."

Rasulullah saw pernah bersabda bahwa pertologan dan bantuan Allah turun ke muka bumi disebabkan oleh doa orang miskin dan yang ditindas. Tidak mungkin aku tidak menolong orang yang berjuang untuk ku ketika aku tidur. Mereka ini tidak pernah lalai dari kerja-kerja mereka. Kamu pula hendakkan aku menolong orang yang berjuang hanya bila mereka lihat aku di medan peperangan bersama-sama mereka dan mereka ini kadang-kadang berjaya dan kadang0kadang gagal. Orang-orang miskin ini pula mempunyai hak atas khazanah negara, bagaimana aku boleh mengelak dari menunaikan hak mereka?Nurdin seterusnya bersedia untuk menebus kembali kekalahannya. Ia telah membahagi-bahagikan sejumlah wang yang agak banyak kepada pengikut-pengikutnya, menulis surat kepada gavenor-gavenornya supaya mengirimkan lagi wang dan dalam masa yang sama meminta orang-orang wara’ dan bertaqwa mendoakan kejayaannya.

Usaha-usahanya ini telah membangkitkan semangat jihad di seluruh negerinya yang luas itu untuk menentang tentera Salib. Apa sampai masanya ia telah berhadapan dengan tentera berseutu Franks dan Greek. Akhirnya dalam satu peperangan yang sengit di Harim ia telah dapat mengalahkan musuhnya sehingga Harim dan beberapa kubu musuh yang lain telah dapat dikuasainya.Semangat Nurdin yang berkobar boleh kita bayangkan melalui satu peristiwa yang telah dirakamkan oleh ahli-ahli sejarah. Ketika ia mengepung Banias, sebuah kubu kuat yang dikawal oleh Kaesar Philippi, adiknya, Nusratdin, telah mengalami kecedaraan mata yang teruk. Ketika menziarahi adiknya yang cedera itu ia berkata, “Jika kau tahu balasan yang akan kau terima di akhirat nanti disebabkan kehilangan satu matamu itu, kau akan menghendaki yang satu lagipun hilang juga”.

Sumber : http://dakwah.info

0 komentar:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates

 

Cute Orange Flying Butterfly