Friday, April 5, 2013

Penyakit Orang Berilmu

Kadang-kadang kita merasakan diri kita berilmu, walhal “air mata” ilmu yang terbit daripada dada kita sangat sedikit. Kadang-kadang kita merasakan diri kita hebat apabila orang menyanjung dan memuji kita, walhal itu semua muslihat Iblis untuk menyesatkan kita.
Amalan seseorang yang banyak adakalanya menjadi modal untuk Iblis memperdayakan kita agar kita berbangga dan riak dengan kelebihan yang Allah pinjamkan. Amal yang sedikit turut dipergunakan oleh Syaitan dengan menimbulkan perasaan sentiasa berprasangka Allah akan mengampuni kekurangan diri tanpa sekelumitpun rasa ingin menambahkan amalan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Penyakit orang kaya adalah bakhil. Penyakit orang miskin adalah malas. Penyakit orang berilmu adalah takabbur. Penyakit orang bodoh adalah tiada keinginan. Penyakit orang beramal adalah ‘perasan’.
Orang yang banyak beramal merasakan dirinya hebat dan disegani. Lalu apabila dia berjalan, dia tunduk semacam tawadhu’ walhal Syaitan dalam jubahnya. Dia bercakap lembut agar dikata orang sebagai orang yang lembut hati walhal dalam hatinya tersimpan suatu perasaan takabbur yang tinggi. Apabila dia bercakap, dia merasakan semua orang memerhatikan kata-katanya. Syaitan telah memperdayakan pandangan mata hatinya, lalu dia menganggap yang buruk itu baik dan yang baik itu sebaliknya.
Orang yang banyak dosa pula sentiasa berharap dengan kalimah Allah yang Maha Pengampun. Dia terlupa Allah juga keras seksaan-Nya. Allah ciptakan neraka sebagaimana Allah turut menciptakan syurga. Neraka untuk orang yang buruk perilakunya, dan juga untuk orang yang baik perilaku tetapi buruk hatinya. Syurga pula untuk orang yang benar-benar bersih daripada sebarang karat kekotoran, jika ada sekalipun, ia terlindung di sebalik rahmat Illahi.
Sesetengah orang berilmu apabila berbicara, maka penuh mulutnya dengan pancaran ilmu yang mempesonakan, walhal hati mereka cemar dengan pendustaan. Mulut mereka berkata benar sedangkan hati mereka menidakkannya. Dia mengatakan cinta akhirat tetapi dia sendiri kelihatannya sibuk mengejar dunia. Dia menyebut perihal zuhud sedangkan jiwanya diselimuti perasaan cintakan dunia berlebihan.
Mungkin orang lain mendapat manfaat di sebalik ilmunya yang melangit, tetapi dengar hanya sekadar dengar. Disimpan dalam otak tetapi tidak di hati. Kepalanya makin membesar dengan ilmu yang sarat tetapi hatinya dipenuhi kotoran pelbagai penipuan. Mereka pakar berbicara dalam pelbagai bidang, aqidah mahupun akhlak, tasawuf juga barangkali tetapi hanya lidah menuturkannya sedangkan hati menafikan. Katanya pejuang Islam tetapi lagaknya berlainan.
Orang yang bersih hati pula, kata-kata mereka mungkin tidak membawa mesej keilmuan yang tinggi, tetapi apabila mereka berbicara, ia mengusik jiwa yang mendengar. Apabila dia menyebut soal dosa, yang mendengar akan terbayangkan neraka. Apabila dia menyebut tentang perjuangan, orang akan rindukan jihad. Apabila dia menyentuh soal ibadat, orang semakin rindukan waktu malam untuk bertahajud. Mereka tidak perlu berbicara.
Kerana akhlak mereka sudah berbicara sebelum lidah mereka bergerak. Apabila mereka ingin berucap, maka seluruh hati orang mula terusik dan menanti-nantikan mutiara kata yang terbit daripada lidahnya. Sekali orang mendengar, rindu akan bertapak dalam diri mereka. Alangkah mereka rindukan kata-kata orang yang bersih jiwanya yang mana mungkin ilmunya tidak banyak tetapi ia sangat memberi kesan.
Orang yang kotor sebaliknya. Berbuih mulutnya berbicara, namun orang hanya endah tidak endah, dengar tidak dengar. Orang mungkin rindukan pidatonya yang bersemangat, tetapi orang tidak rindukan mutiara kata darinya. Sekadar mendengar menambahkan semangat dalam satu atau dua jam, kemudian hilang berciciran di tengah jalan. Orang yang bersih hatinya, mungkin pidatonya tidak menarik tetapi jiwa sentiasa dibuai dan terusik.

Al-Hijr

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma’siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (orang-orang yang ikhlas beribadah kepada Allah)  di antara mereka.” ( Al-Hijr: 39-40 )"

credit to : http://ondastreet.wordpress.com/2013/02/08/tazkirah-jumaat-penyakit-orang-berilmu/ 
Teruskan membaca »»

Friday, March 8, 2013

KEBERKATAN DAN KELEBIHAN HARI JUMAAT


masjid02

Pengenalan
Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.

Penghulu Segala Hari
Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.
Kelebihan Hari Jumaat
Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu 
1)  Allah ciptakan Adam , 
2)  Allah turunkan Nabi Adam  ke bumi,
3) Allah mematikan Nabi Adam, 
4)  Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. 
5)  Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Hadis Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).
Kelebihan Solat JumaatSolat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.
Malaikat Turun ke Bumi
Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W  mengutuskan  malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.
Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
Kesimpulan
  • Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.
  • Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.
  • Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.
Sumber:  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (YAKIM)
Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)
Artikel dimasukkan pada 25 Februari 2011
Teruskan membaca »»

Monday, April 9, 2012

HALUS NYA BISIKAN LAKNATULLAH

Iblis laknatullah membisikkan kepada para wanita bahawa apa jua pakaian termasuk hijab tidak ada kaitannya dengan agama, sebaliknya ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus.

Bagaimanakah caranya?


1. Membuka Bahagian Tangan
Kebiasaannya telapak tangan sudah terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan fesyen, iaitu membuka bahagia hasta (siku hingga telapak tangan).

“Ah!Tidak apa-apa, kan masih pakai tudung dan pakai baju panjang.”Begitu bisikan syaitan.

Akhirnya si wanita menampakkan tangannya dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa.
Maka syaitan berbisik, “Hah,tak apa-apa kan?”


2. Membuka Leher dan Dada
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi.

“Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan fesyen yang lebih maju lagi, iaitu terbuka bahagian atas dada kamu, tetapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sedikit untuk mendapatkan hawa agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli kerana sebahagian sahaja yang terbuka.”

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari fesyen setengah lingkaran hingga fesyen berbentuk “V”.


3. Berpakaian tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, “Pakaianmu hanya begitu-begitu saja, cubalah fesyen yang lebih bagus! Banyak kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat agak ketat biar lebih indah dan cantik dipandang.”

Maka tergodalah si wanita. “Mungkin tidak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya sahaja yang berbeza, agar nampak lebih feminin,” begitu syaitan menokok-nambah.

Maka, jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai kasiyat ‘ariyat (berpakaian tapi telanjang).


4. Agak Terbuka Sedikit

Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi.

“Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, kerana sempit, kan lebih baik dibelah hingga lutut atau mendekati peha? Dengan itu kamu lebih selesa.”

Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahaian bawah hingga lutut atau mendekati peha ternyata lebih selesa dan mudah untuk duduk atau menaiki kenderaan.


5. Tudung Semakin Kecil

Kini syaitan melangkah dengan tipu daya lain yang lebih “power”. Tujuannya adalah agar para wanita menampakkan bahagian auratnya. “Oh, ada yang terlupa! Kalau kamu pakai baju sedemikian, maka tudung yang besar tidak sepadan lagi. Sekarang kamu cari tudung yang lebih kecil agar serasi dan sepadan. Orang tetap akan menamakannya tudung.”


6. Terdedah

Si wanita ternyata selesa dengan fesyen baru yang dipakainya seharian. Syaitan datang memberi idea lagi.

“Rambutmu sangat cantik. Bukankah lebih selesa jika tudungmu dilepaskan. Kamu bebas mencuba fesyen rambut yang pelbagai. Malah, kamu boleh mewarnakan mengikut warna yang kamu suka supaya kelihatan lebih menawan.”

Maka, sekali lagi syaitan berjaya mempengaruhi si wanita supaya mendedahkan rambutnya.


7. Membuka Seluruh
Syaitan kembali berbisik, “Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen yang lebih menarik. Bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya kira-kira 
10 sentimeter sahaja. Nanti kalau kamu sudah biasa, baru cari fesyen yang di atas paras lutut”
Benar-benar bisikan syaitan telah menjadi penasihat peribadinya.

 Maka terbiasalah dia memakai pakaian terdedah.


Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bersalahan dengan agama?

Namun bisikan syaitan menyahut, “Ah, jelas tidak bersalahan. Kan sekarang zaman sudah semakin moden. Kamu hanya mengikut arus fesyen masa kini.”

“Tetapi, apakah ini tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki?” hati si wanita curiga.
“Fitnah? Ah, kalau kaum lelaki melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada fitnah lagi, kerana sama-sama suka?” syaitan menghasut.
Begitulah sesuatu yang seakan-akan mustahil untuk dilakukan. Namun syaitan tidak pernah berhenti membisikkan hasutan-hasutan jahat sehingga ke saat kematian seorang anak Adam itu. Hingga pada suatu ketika nanti akan muncul idea untuk mandi di kolam renang atau di pantai secara terbuka, di mana hanya dua bahagian sahaja yang ditutupi iaitu kemaluan dan buah dada!!!
Ingatlah,
syaitan laknatullah hanya pandai menjanjikan kita dengan janji-janji palsu yang halus dan memikat, janji untuk keseronokan dunia, tetapi sebenarnya janji itu palsu dan racun yang mematikan! Nauzubillah

credit to:AnnA Syahirah
Teruskan membaca »»

Sunday, February 12, 2012

Ibn Bajjah

Ibn Bajjah

Umat Islam dipercayai telah sampai ke Sepanyol pada zaman sahabat lagi. Kedatangan mereka telah berjaya mempengaruhi kehidupan masyarakat di sanakhususnya dalam bidang yang berkaitan
keilmuan dan ketarnadunan. Bahkan kesan
tamadun Islam masih dapat dilihat sehingga ke
hari ini.

Sepanjang pemerintahan Islam di Sepanyol yang juga dikenali sebagai
Andalusia, telah lahir ramai cendi-kiawan dan sarjana dalam pelbagai
bidang. Sebahagian mereka ialah ahli sains, matematik, astronomi,
perubatan, falsafah, sastera, dan sebagainya.
Salah seorang mereka ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh
atau lebih terkenal sebagai Ibn Bajjah. Beliau dilahirkan di Saragossa
pada tahun 1082 Masihi (M). Ibn Bajjah merupakan seorang
sasterawan dan ahli bahasa yang unggul. Dalam hal ini, beliau pernah
menjadi penyair bagi golongan al-Murabbitin yang dipimpin oleh Abu
Bakr Ibrahim Ibn Tafalwit. Selain itu, Ibn Bajjah juga merupakan
seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal. Sungguhpun
begitu beliau juga seorang yang hafiz al-Quran.
Dalam masa yang sama, Ibn Bajjah amat terkenal dalam bidang
perubatan dan merupakan salah seorang doktor teragung yang pernah
dilahirkan di Andalusia.
Walau bagaimanapun, kehebatannya turut terserlah dalam bidang
politik sehingga beliau dilantik menjadi menteri semasa Abu Bakr Ibrahim
berkuasa di Saragossa. Lebih menakjubkan lagi apabila beliau dapat
menguasai ilmu matematik, fizik, dan falak. Pada kesempatan itu beliau
banyak menulis buku yang berkaitan dengan ilmu logik.
Kemampuannya menguasai berbagai-bagai ilmu itu menjadikannya
seorang sarjana yang teragung bahkan tiada bandingannya di Andalusia
dan barangkali di dunia Islam. Jadi, sumbangannya dalam bidang
keilmuan begitu besar sekali.
Dalam bidang falsafah umpamanya, Ibn Bajjah boleh diletakkan setaraf
dengan al-Farabi dan Aristotle. Dalam bidang ini beliau telah
mengemukakan gagasan fal­safah ketuhanan yang menetapkan bahawa
manusia boleh berhubung dengan akal fa'al melalui perantaraan ilmu
pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.
Menurut Ibnu Bajjah, manusia boleh mendekati Tuhan melalui amalan
berfikir dan tidak semestinya melalui amalan tasawuf yang dikemukakan
oleh Iman al-Ghazali. Dengan ilmu dan amalan berfikir, segala
keutamaan dan perbuatan moral dapat diarahkan untuk memimpin
serta menguasai jiwa. Usaha ini boleh menumpaskan sifat haiwaniah
yang bersarang dalam hati dan diri manusia.
Berdasarkan pendapatnya, seseorang itu harus mengupayakan
perjuangannya untuk berhubung dengan alam sama ada bersama-sama
dengan masyarakatnya ataupun secara terpisah. Kalau masyarakat itu
tidak baik maka seseorang itu harus menyepi dan menyendiri.
Pandangan falsafah Ibn Bajjah ini jelas dipengaruhi oleh idea-idea
al-Farabi. Pemikiran falsafah Ibn Bajjah ini dapat diikuti dalam "Risalah
al-Wida" dan kitab "Tadbir al-Muttawwahid" yang secara umumnya
merupakan pembelaan kepada karya-karya al-Farabi dan Ibn Sina
kecuali bahagian yang berkenaan dengan sistem menyepi dan
menyendiri.
Namun, ada sesetengah pengkaji mengatakan bahawa kitab tersebut
sama dengan buku "al-Madinah al'Fadhilah" yang ditulis oleh al-Farabi.
Dalam buku itu, al-Farabi menjelaskan pandangan beliau mengenai
politik dan falsafah. Al-Farabi semasa membicarakan tentang politik 
telah mencadangkan supaya sebuah negara kebajikan yang diketuai
oleh ahli falsafah diwujudkan.
Satu persamaan yang ketara antara al-Farabi dengan Ibn Bajjah ialah
kedua-duanya meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Mereka
hampir sependapat bahawa akal dan wahyu merupakan satu hakikat
yang padu. Sebarang percubaan untuk memisahkan kedua-duanya
hanya akan melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang pincang.
Oleh sebab itu, akal dan wahyu harus menjadi dasar dan asas
pembinaan sebuah negara serta masyarakat yang bahagia. Ibn Bajjah
berpendapat bahawa akal boleh menyebabkan manusia mengenali apa
sahaja kewujudan sama ada benda atau Tuhan. Akal boleh mengenali
dengan sendiri perkara-perkara tersebut tanpa dipengaruhi oleh
unsur-unsur kerohanian melalui amalan tasawuf.
Selain itu, Ibn Bajjah juga telah menulis sebuah buku yang berjudul
"aI-Nafs" yang membicarakan persoalan yang berkaitan dengan jiwa.
Pembicaraan itu banyak dipengaruhi oleh gagasan pemikiran falsafah
Yunani. Oleh sebab itulah, Ibn Bajjah banyak membuat ulasan terhadap
karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos, al-Farabi, dan al-Razi.
Minatnya dalam soal-soal yang berkaitan dengan ketuhanan dan
metafizik jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau turut
mahir dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra, dan sebagainya.
Sewaktu membicarakan ilmu logik, Ibn Bajjah berpendapat bahawa
sesuatu yang dianggap ada itu sama ada benar-benar ada atau tidak
ada bergantung pada sama ada diyakini ada atau hanyalah suatu
kemungkinan. Justeru itu, apa yang diya­kini itulah sebenarnya satu
kebenaran dan sesuatu kemungkinan itu boleh jadi mungkin benar dan
tidak benar.
Sebenarnya, banyak perkara di dunia ini yang tidak dapat dihuraikan
menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah belajar ilmu-ilmu lain untuk
membantunya memahaminya hal-hal berkaitan dengan metafizik.
Ilmu sains dan fizik misalnya digunakan oleh Ibn Bajjah untuk
menghuraikan persoalan benda dan rupa. Menurut Ibn Bajjah, benda
tidak mungkin wujud tanpa rupa tetapi rupa tanpa benda mungkin
wujud. Oleh sebab itu, kita boleh menggambarkan sesuatu dalam
bentuk dan rupa yang berbeza-beza.
Kemahiran Ibn Bajjah dalam bidang matematik dan fizik sememangnya
diperakui tetapi beliau tidak cuba menyelesaikan permasalahan yang
timbul. Sebaliknya ilmu itu digunakan untuk menguatkan hujah dan
pandangannya mengenai falsafah serta persoalan metafizik.
Masih banyak lagi pemikiran falsafah Ibn Bajjah yang tidak diketahui
kerana sebahagian besar karya tulisannya telah musnah. Bahan yang
tinggal dan sampai kepada kita hanya merupakan sisa-sisa dokumen
yang berselerakan di beberapa perpustakaan di Eropah.
Sesetengah pandangan falsafahnya jelas mendahului zamannya.
Sebagai contoh, beliau telah lama menggunakan ungkapan manusia
sebagai makhluk sosial, sebelum para sarjana Barat berbuat demikian.
Begitu juga konsep masyarakat madani telah dibicarakan dalam
tulisannya secara tidak langsung.
Sesungguhnya Ibn Bajjah merupakan tokoh ilmuwan yang hebat.
Sesuai dengan itu beliau telah diberikan kedudukan dan penghormatan
yang tinggi oleh orang Murabbitin.
Tetapi perasaan dengki dan cemburu telah menyebabkan beliau
diracuni dan akhirnya meninggal dunia pada tahun 1138 (M) dalam usia
yang masih  muda. Biarpun umur Ibn Bajjah tidak panjang tetapi
sumbangan dan pemikirannya telah meletakkan tapak yang kukuh
kepada perkembangan ilmu dan falsafah di bumi Andalusia.

Teruskan membaca »»

Template by:
Free Blog Templates

 

Cute Orange Flying Butterfly